Setiap pertemuan
Pasti akan temu detik perpisahan
Walau kini terpisah
Kenangkanlah saat indah
Sebagai penyembuh rindu
Sambung Baca: http://anizyn.blogspot.com/2009/12/lirik-penyembuh-rindu-mawi-ft-diana.html#ixzz1vz7yZvyy
Ini adalah seperenggan daripada lagu Penyembuh Rindu yang didendangkan oleh Mawi dan Diana Danielle dalam filem Magika.
Sebenarnya lagu ini lagu cinta kepada seseorang. Tetapi saya suka perenggan ini. Apabila menyanyikannya, teringat rakan-rakan yang telah lama tidak ditemui.
Dulu semasa bersekolah di SK Serting 3 (Felda), apabila kena berpindah ke SK Serting (F), saya sedih. Masih segar di ingatan, kawan ketika itu, Nurul Adilah memberikan gambar-gambarnya kepada saya. Zaman itu, kemudahan sistem pesanan ringkas (SMS) mahupun email tidak dapat dibayangkan keadaannya. Maka terjadi sebuah perpisahan dan pertemuan. Di sekolah baru, saya bertemu rakan-rakan baru.
Kemudian, dari SK Serting (F), saya melangkah ke alam persekolahan menengah. Maka terjadi sebuah perpisahan dan pertemuan. Lima tahun di SMKA SHAMS, Seremban. Pelbagai memori dan pengalaman berharga menjadi satu permata yang melengkapkan profil diri saya. Setelah keputusan SPM diumumkan, saya mendapat tawaran ke Matriculation Centre IIUM. Maka terjadi sebuah perpisahan dan pertemuan sekali lagi.
Dua tahun di MCIIUM, tiba saatnya saya melangkah ke Kampus Utama IIUM di Gombak. Maka terjadi sebuah perpisahan dan pertemuan. Sekali lagi. Ada yang meneruskan pengajian di IIUM, Kuantan dan ada yang kecundang di tengah jalan. Oktober 2011, saya menggengam segulung ijazah setelah 4 tahun berhempas pulas. Dan, terjadi sebuah perpisahan dan pertemuan.
Sepanjang jangka masa tersebut, ramai kawan yang saya temui. Dan saya tidak tahu bila lagi saya akan ketemu mereka lagi. Setiap daripada mereka, memberikan saya sebuah erti kehidupan di dunia yang kejap ini.
Hanya doa yang mampu saya hadiahkan untuk mereka semua.
Satu rasa. R.I.N.D.U.












